Ya.. Allah, jadikan kami hamba yang sentiasa bersyukur dan tidak mensia-siakan nikmat yang sering engkau anugerahkan. Sampaikan hajat-hajat kami dalam redhaMu ya Allah, kekalkan kami di jalan Iman dan Islam dalam pemeliharaanmu.

Friday, October 29, 2010

KASIH SAYANG ALLAH TERHADAP HAMBA NYA


Sesungguhnya kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya adalah dalam keadaan adil tidak kiralah hamba-Nya itu dalam keadaan bermaksiat atau tengah beramal ibadah. Sesungguhnya kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya adalah kasih sayang yang tiada tolok bandingnya lagi.

Berikut adalah kisah dan bukti bagaimana kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya berdasarkan nasihat yang diberikan oleh Nabi Muhammad saw kepada Abu Jahal yang lantang menentang akan kebenaran Islam.

” Wahai Abu Jahal, ” kata Rasulullah saw memulai. ” Tahukah kamu akan kisah tentang Nabi Ibrahim as saat beliau diangkat oleh Allah swt ke alam ghaib iaitu alam Malaikat dan ianya merupakan tempat yang teletak sedikit di bawah langit. Dari sana beliau diberikan oleh Allah swt kekuatan hinggakan boleh meyaksikan apa yang dilakukan oleh manusia di dunia, baik yang hidup di luar atau mereka yang tersembunyi. Tiba-tiba matanya memandang kepada satu pasangan yang sedang enak berzina.

Nabi Ibrahim mengangkat kedua belah tangannya memohon kutukan dan kecelakaan bagi mereka. Kemudian Nabi Ibrahim melihat lagi akan pasangan lain yang melakukan perbuatan yang sama mendorong beliau mendoakan lagi pasangan ini hinggakan mereka mendapat kecelakaan. Kali ketiga, dia melihat lagi pasangan yang berzina namun apabila beliau ingin mendoakan untuk kali ketiga,

Allah segera berfirman kepada Nabi Ibrahim

“Wahai Ibrahim, tahan doamu kepada mereka. Ssesungguhnya Aku adalah Allah Yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Dosa hamba-Ku tidak akan merugikan-Ku, sebagaimana ketaatan mereka tidak akan menambahkan manafaat apa-apa bagi-Ku. Aku tidak mengatur mereka dengan cara melepaskan kemarahan seperti engkau lakukan.

Tahan doamu dari hamba-hamba-Ku yang lelaki atau perempuan kerana engkau hanya seorang hamba yang bertugas memberi peringatan. Engkau tidak bersekutu dengan-Ku dalam kerajaan. Engkau tidak mempunyai kuasa terhadap-Ku dan terhadap hamba-hamba-Ku. Hamba-hamba-Ku berada antara tiga sifat:

Pertama, mereka memohon keampunan dari-Ku. Aku mengampuni mereka. Aku maafkan kesalahan mereka dan Aku sembunyikan keaiban mereka.

Kedua, hamba-hamba-Ku yang Kutahan dari azab-Ku kerana Aku tahu kelak dari sulbi mereka akan lahir anak keturunan yang beriman. Aku bersifat lunak terhadap ayah mereka yang kafir dan tidak terburu- buru terhadap ibu mereka yang kafir. Aku angkat mereka azab-Ku agar hamba yang mukmin itu boleh dikeluarkan dari sulbi mereka. Apabila mereka, ayah dan anak telah terpisah, maka akan datanglah saat azab-Ku dan akan turunlah bencana dari-Ku.

Ketiga, mereka yang bukan dari golongan pertama dan kedua. Untuk mereka telah Aku siapkan azab yang lebih besar dari yang engkau (Ibrahim) inginkan. Kerana azab-Ku terhadap hamba-hamba-Ku berdasarkan Keagungan dan KeMahaperkasaan-Ku

Wahai Ibrahim, biarkan antara Aku dan hamba-hamba-Ku kerana Aku lebih kasih sayang terhadap mereka . Berikan antara Aku dan hamba-hamba-Ku kerana Aku adalah Allah Yang Maha Kuasa. Maha Sabar, Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Aku mengatur mereka dengan ilmu-Ku dan Aku laksanakan terhadap mereka ketentuan dan takdir-Ku “

Kelebihan Solat Witir


Solat Witir ialah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam selepas solat isyak sehingga terbit fajar saddiq (sebelum masuk waktu subuh), lebih afdal lagi bila ia dilakukan pada sepertiga malam yang terakhir. Ia boleh dilakukan setiap malam, tidak hanya pada bulan ramadan sahaja.

Solat Witir adalah solat yang unik kerana dikerjakan pada jumlah rakaat yang ganjil jumlahnya iaitu sekurang-kurangnya satu rakaat, selebihnya 11 rakaat. Paling afdal ialah 3 rakaat iaitu dimulai dengan solat witir dua rakaat satu salam dan disambung dengan solat witir satu rakaat satu salam. Kerana ianya unik, Solat witir mesti dilakukan dengan rakaat yang ganjil sebagai penyudah.

Solat witir sangat digalakkan untuk dilakukan berdasarkan hadis Nabi Muhammad saw

Rasulullah saw, bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah itu witir (ganjil), dan Dia menyukai witir, maka lazimkanlah solat witir, wahai ahli Al-Quran.”

Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi.

“Sesiapa yang mengerjakan sembahyang dhuha, berpuasa tiga hari daripada sebulan dan tidak pernah meninggalkan sembahyang witir sama ada dalam pelayaran dan bermuqim, dicatat baginya pahala orang syahid.”

Hadis riwayat at-Thabran

“Witir itu hak (benar). Barangsiapa yang tidak berwitir ia bukan dari golongan kita! Witir itu hak maka barang siapa yang tidak mengerjakannya ia bukan
dari golongan kita! Witir itu hak, barangsiapa yaang tidak mengerjakannya maka ia bukan dari golongan kita!

Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud


Nabi Muhammad saw bersabda:

“Sesungguhnya Allah telah memberikan (hadiahkan) kepada kamu satu solat, yang mana ianya adalah lebih baik daripada unta-unta yang terbaik. Iaitulah Solat Witir.

Hadis Riwayat Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah

Gambaran masyarakat Arab ketika itu ialah sesiapa yang memiliki unta yang terbaik akan dianggap sebagai orang yang berharta dan kaya. Boleh diibaratkan seperti zaman sekarang ialah orang ynag berstatuskan jutawan, memiliki kekayaan.

Bayangkan berapa lama untuk mengumpulkan harta sehingga menjadi jutawan dan memiliki kekayaan, adalak kita cuma perlu lakukan selama 10 tahun ? 30 tahun untuk menjadi seorang jutawan?

Tetapi dengan mengerjakan solat witir dengan hanya satu rakaat sahaja, melebihi daripada apa yang kita idamkan iaitu menjadi jutawan dan miliki harta yang berlimpah luah. Bayangkan pula jika solat witir itu dilakukan 3 rakaat atau 5 rakaat. Berapa kali ganda kekayaan yang boleh dibayangkan dengan hanya mengerjakan solat witir.

Tetapi ini hanyalah satu perumpamaan, apa yang diterangkan oleh Rasulullah saw adalah untuk memudahkan fahaman kita kepada gambaran kebendaan, sedangkan di Akhirat nanti balasan yang diterima adalah berkali ganda di dalam syurga.

Ia seolah-olah mengambarkan betapa mudahnya kita boleh menjadi kaya raya iaitu hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Ternyata hadiah ini sememangnya bernilai diberikan oleh Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Terlalu mudah untuk hamba-hamba-Nya memasuki syurga tetapi hanya segelintir sahaja yang mengambil manafaatnya,

Oleh yang demikian janganlah ditinggalkan solat witir, kerjakanlah walaupun hanya sedikit bilangan rakaatnya tetapi berterusan. Amalan yang berterusan tetapi sedikit adalah perkara yang disukai oleh Allah swt.

Sebagai mana di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah ra yang bermaksud

“Ditanya Nabi Muhammad saw tentang amalan-amalan yang disukai oleh Allah. Baginda bersabda: “Amalan yang berterusan walaupun sedikit.”

Hadis riwayat Bukhari


wallahualam.

Kelebihan Hari Jumaat


JUMAAT adalah hari paling mulia serta mempunyai beberapa fadilatnya untuk direnungi.

Kitab As Sabi’ iyahti Fi Mawa’izhil Bariyyat banyak memaparkan peristiwa agung yang berlaku pada hari Jumaat. Antara peristiwa itu ialah perkahwinan Nabi Adam dan Hawa; Nabi Yusuf dengan Zulaiha: Nabi Musa dengan Shafura binti Syuaib; Rasulullah saw dengan Khadijah; Rasulullah dengan Siti Aisyah binti Abu Bakar serta Ali bin Abi Thalib dengan Fatimah Zahara binti Muhammad.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga”.

“Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu, tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat”.

“Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia-mulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran Allah daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta”.

“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu”.

“Barang siapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas”.

“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan dalam buku kehadiran malaikat.

Umat Islam juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat untuk mendapat fadilatnya, termasuk dalam berwuduk, mandi sunat dan tertib ketika menghadiri solat Jumaat.

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat, terus mendengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi tambahan tiga hari lagi”.

“Sesiapa yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni bersalah.”

Hadis di atas membuktikan bahawa Islam memberi penekanan terhadap perlunya makmum menumpukan kepada khutbah yang disampaikan. Isi kandungannya khutbah perlu diteliti bukan hanya sebagai sumber ilmu, malah mencakupi teguran, pembinaan hidup dan nasihat yang berguna.

Daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah bersabda: “Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu.”
(Muttafaq ‘alaih)

Daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda: “Sesiapa yang berwudhuk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi tetapi mandi itu adalah lebih utama.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dan Termizi).

Kemuliaan yang ada pada Jumaat meletakkannya sebagai ‘penghulu’ segala hari.

Hadis Rasulullah yang diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”

Ada banyak hadis dan riwayat mengenai kelebihan hari Jumaat. yang bertujuan menceritakan ganjaran yang perlu direbut oleh umat Islam.

Antaranya:

* Orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat akan terlepas soal jawab kubur.

* Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka malaikat mendoakan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.

* Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat.”

* Sesiapa membaca Surah Yassin pada malam Jumaat, Allah mengampunkan dosa kecil yang dilakukan, demikian menurut hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah.

* Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang”.

* Mereka yang mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnya, maka Allah mengkifaratkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar.

* Mereka yang berdoa dengan penuh keikhlasan hati pada Jumaat, mudah dimakbulkan oleh Allah.