Ya.. Allah, jadikan kami hamba yang sentiasa bersyukur dan tidak mensia-siakan nikmat yang sering engkau anugerahkan. Sampaikan hajat-hajat kami dalam redhaMu ya Allah, kekalkan kami di jalan Iman dan Islam dalam pemeliharaanmu.

Sunday, December 12, 2010

Dua Perkara Yang Kita Anggap Remeh Temeh ( Muhasabah )

Allah Tuhanku~~



Allah itu adalah Tuhan yang wajib kita sembah. Allah itu adalah pencipta dan pentadbir pada setiap yang wujud di dalam dunia ini.



Dua perkara itu perkara asas. Ada orang akan kata pada saya: “Ala, ini semua saya dah tahu.”



“Benda ni belajar masa sekolah rendah.”



Nampak remeh dan lekeh. Ya. Memang remeh sekiranya dipandang dalam sekadar ayat. Mungkin tidak cukup bombastik. Atau terlalu biasa. Mungkin kalau keluar soalan dalam peperiksaan, yang ini kita tak payah baca pun boleh jawab.



Tetapi dua perkara ini adalah asas. Yang mana asas ini memang kebanyakan manusia tahu, tetapi yang asas ini pun tidak mantap untuk dibumikan dalam amalan kehidupan. Intipati kedua perkara ini amatlah besar dan luas untuk dikatakan remeh dan lekeh. Punca utama kepincangan dalam kehidupan manusia, adalah dia lupa akan dua perkara ini.



Allah itu adalah Ilah. Allah itu adalah Rabb.



Sebab itu walaupun perkara ini nampak biasa, ia adalah perkara yang perlu kta tanamkan dalam kehidupan kita.



Kalau benar kita anggap Allah itu Tuhan, tempat kita mengabdikan diri dan bergantungan.



Sekiranya keimanan kita benar dan kita benar-benar meyakini bahawa Allah itu adalah Tuhan, maka kita akan mengimani bahawa Dia Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Berkuasa Atas Segala-galanya, Maha Memberikan Balasan, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pengampun.



Kita akan melihat bahawa, kepercayaan bahawa Allah itu adalah Tuhan kita akan menolak kita untuk mengambil kebaikan dan membuang keburukan di dalam kehidupan kita. Kalau benar bahawa kita percaya bahawa Allah itu adalah Tuhan kita, maka kita tidak akan bermain-main dalam kehidupan kita.



Kalau benar bahawa kita percaya bahawa Allah itu adalah Tuhan kita, maka kita akan menghargai kehidupan kita dan mengisinya dengan pengisian yang bermakna. Hal ini kerana kita percaya bahawa Allah Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Memberikan Balasan. Alangkan ibu bapa memberikan hadiah, dan kita mencampaknya begitu sahaja sudah dipanggil kurang ajar. Bagaimanakah perbuatan kita yang mencampak pergi segala pemberian Tuhan dan mengingkari segala perintahNya?



Dan apabila kita jatuh dalam kehidupan kita, kita akan menganggap itu sebagai ujian untuk peningkatan diri dan kaffarah dosa. Kita tidak kecewa berpanjangan dengan dugaan dan ujian yang menimpa, kerana kita yakin bahawa kalau kita sabar, Allah akan mengangkat semua masalah kita. Dan kita tahu bahawa, walaupun kita terkorban di tengah-tengah dugaan, balasan sabar dan tabah dalam melaluinya akan diberikan oleh Allah di hari akhirat. Maka jadilah kita manusia yang mampu bertenang bila ditimpa musibah, mampu waras tika diberikan ujian. Kerna kita yakin bahawa, tempat pergantungan kita adalah tempat pergantungan kukuh tiada taranya.



Tetapi apabila kita tidak meletakkan Allah sebagai Tuhan, maka kita secara automatiknya tidak akan risau akan hari pembalasan, jauh sekali berfikir akan neraka dan syurga, sekaligus tidak kisah akan dosa dan pahala. Kita rasa bahawa buat jahat dan baik itu sama sahaja. Kita rasa hidup ini tidak perlukan peraturan, dan kita berhak berbuat apa sahaja tanpa segan silu atau merasa pelik.



Apabila kita jatuh, ditimpa dugaan, kita rasakan kita adalah manusia paling tidak bernasib baik di dalam dunia, dan terus melakukan perkara-perkara yang bodoh lagi tidak bermanfaat untuk kita. Hal ini kerana, kita sebagai manusia sedar bahawa tiada apa yang wujud di hadapan mata ini kukuh untuk dijadikan pergantungan penuh. Tidak kiralah sahabat paling karib, hatta ibu bapa sekalipun. Semuanya akan ada kecacatan. Maka kita akan jadi manusia yang sugul dan ketakutan.





Kalau benar kita menganggap Allah itu sebagai pencipta dan pentadbir alam ini.



Bagaimana kita melihat alam ini? Perjalanannya amat menakjubkan bukan?



Pernahkah kita mengkaji bagaimana sistem-sistem di dalam tubuh manusia beroperasi? Pernah kita mengkaji bagaimana tumbuh-tumbuhan hidup? Pernah kita mengkaji bagaimana kehidupan-kehidupan mikroorganisma seperti sel dan sebagainya? Pernahkah kita mengkaji pelbagai jenis kitaran ekosistem, kehidupan haiwan, air hujan, peredaran planet dan sebagainya?



Kalau kita tidak yakin bahawa Allah yang menciptakan semua itu, maka kita akan rasa semua itu adalah semata-mata keajaiban alam. Yang hakikatnya tidak membawa makna kepada kita. Ya, keajaiban alam. Tetapi apa maknanya kepada manusia? Oh, manusia boleh hidup dengan baik dengan keajaiban alam ini. Itu sahaja. Tidak lebih. Bila kita mati, bukannya keajaiban alam ini bermakna pun buat kita.



Ya. Kalau kita tidak yakin bahawa Allah yang menciptakan semua itu dan mentadbirnya.



Tetapi persoalan timbul. Adakah logik jutaan sistem, jutaan operasi, jutaan pergerakan, jutaan makhluk ini terjadi secara tiba-tiba tanpa pencipta? Alangkan kita hendak mewujudkan tulisan pun memerlukan penulis. Hatta habuk pun ada sumbernya. Semua makhluk(yang diciptakan) pasti ada khaaliq(pencipta)nya.



Dan Pencipta ini mentadbir jutaan sistem, jutaan operasi, jutaan pergerakan tadi dengan penuh sempurna. Lihatlah bagaimana awan diciptakan dan bagaimana kehidupannya, lihatlah gunung ganang diciptakan dan bagaimana keadaannya, lihatlah planet-planet, sel-sel, kehidupan binatang dan manusia, reka bentuk tumbuh-tumbuhan dan peredarannya. Lihatlah dan lihatlah. Semua adalah sempurna.



Jadi apabila kita meyakini bahawa Allah adalah pencipta itu, pastinya kita akan memandang Islam yang juga diturunkan oleh Allah SWT sebagai peraturan untuk manusia, sebagai peraturan yang terbaik dan tiada tandingannya.



Beriman bahawa Allah adalah RABB(pentadbir) akan membuatkan kita siap melaksanakan perintahNya, dan cekal meninggalkan laranganNya. Kerna kita tahu bahawa, Allah adalah Rabb(pentadbir) yang sukses. SistemNya solid tiada kecacatan. Lihat sahaja alam yang kemas ini. Lihatlah bagaimana kita hidup di atas alam ini. Apabila kita mengambil Islam sebagai cara hidup, maka kita akan pergi ke tahap yang terbaik sekali. Dan pastinya, apabila kita meyakini Allah adalah Rabb, maka kita sendiri tidak akan ebrmain-main dalam mengambil Islam.



Tetapi apabila kita tidak percaya bahawa Allah adalah Rabb?



Kita tidak akan ambil Islam. Kita akan kata Islam itu lekeh. Kita akan kata Islam itu entah apa-apa. Dan apakah akibatnya tidak mengambil Islam? Oh, jangan suruh saya jawab. Saya mahu anda jawab. Lihat sekeliling anda. Baca akhbar-akhbar anda. Lihatlah dunia hari ini.



Anda jawab sendiri.





Kita sangka Allah itu apa?



Allah bukanlah Tuhan yang kita wujudkan. Bahkan Allah yang mewujudkan kita. Kita tidak menyembah Allah dengan memberi rezeki kepadaNya. Bahkan Allah yang memberikan rezeki kepada kita. Allah bukanlah Tuhan yang kita wujudkan semata-mata untuk menyelamatkan diri atau kampung dari bala. Tetapi Allahlah yang mewujudkan kita, dan kita memerlukanNya setiap masa di dalam kehidupan kita, walaupun kala kita dalam senang dan gembira.



Kita sangka Allah itu apa? Mitos rekaan dalam buku-buku cerita?



Tuhan yang boleh kita tipu perdaya?



Tuhan yang boleh kita tewas dan tumpaskan?



Kita selama ini, sangka Allah itu apa?



Keimanan itu bukan sekadar percaya dengan mulut.



Jangan cakap pada saya: “Aku percaya Allah itu Tuhan, aku percaya Allah itu adalah pencipta dan pentadbir alam ini.” Sebab mulut bukan pembuktian keimanan kita secara tepatnya.



Apakah tindakan kita? Bagaimanakah kehidupan kita? Apa yang kita buat? Kalau benar kita meletakkan Allah itu sebagai Ilah, sebagai Rabb dalam kehidupan kita?



Saya bukan membawa artikel ini untuk kita menjawab peperiksaan. Saya juga bukan membawa artikel ini untuk ilmu pengetahuan. Saya membawa artikel ini untuk kesedaran dan dibumikan dalam amalan.

Tahu kita memang tahu. Saya yakin anda semua tahu.



Tetapi sejauh mana kita benar-benar hidup dalam kefahaman Allah itu adalah Ilah, dan Allah itu adalah Rabb?

Pandang kehidupan kita. Pandang.



Itulah keimanan kita.

Wednesday, December 8, 2010

Aduhai Niqab.... ( Renungan Bersama )


Ramai orang tahu apa itu niqab. Bahasa popularnya dahulu adalah purdah. Antara bahasa yang kurang popular adalah cadar. Tapi saya memang tak pakai la perkataan cadar ni. Sebab cadar saya guna untuk kain yang menyelimuti katil. Tapi itu saya la ya. Saya selalu sebut niqab atau purdah sahaja.



Niqab ni, selepas saya baca dan kaji sikit, pengakhiran terhadap hukumnya ada dua. Yakni harus pakai, dan wajib pakai. Namun majoriti ulama’ berada di pihak harus pakai. Hanya kebanyakan ulama’ Arab Saudi sahaja yang mewajibkan, itu pun ada antara ulama’ saudi seperti Sheikh Nasiruddin Al-Bani menyatakan tidak wajib.



Saya bukan nak bahas fasal hukum. Saya cuma nak menyampaikan sesuatu berkenaan hal niqab.

Ini cetusan daripada sahabat saya. Bermula dengan pertanyaan:

“Bro, orang pakai niqab ni sebab tak mahu jadi fitnah. Jadi apa pandangan bro terhadap orang yang pakai niqab, tapi pergi tangkap gambar sendiri lepas tu letak kat facebook, friendster untuk tayangan ramai?”

Rasa aneh

Bicara sahabat saya tadi mengetuk minda saya. Benar, saya perasan akan situasi yang dia ceritakan itu. Ramai aje kalau saya melompat-lompat facebook atau friendster, hatta blog dan website pun, kelihatan gambar orang berniqab tapi kemudian tangkap gambar sendiri(gaya macam-macam la kan).

Kenapa buat begitu?

Saya rasa aneh.

Tujuan pemakaian niqab, sama ada wajib atau harus, adalah untuk mengelakkan fitnah. Kalau dalam hukum wajib, niqab dipakai kerana perempuan itu menjadi sumber ujian kepada lelaki dan untuk memuliakan serta menjaga perempuan itu sendiri. Kalau hukum harus pula, niqab dipakai kerana mengelakkan fitnah kepada diri dan orang sekeliling. Contohnya kalau dia terlalu cantik, maka dia perlu memakai purdah agar kurang sedikit perhatian orang kepadanya. Ditakuti, perhatian orang itu akan menimbulkan fitnah.


Tapi, kenapa tangan gambar dengan pelbagai aksi dan angle kalau tujuan memakai niqabnya adalah seperti tadi? Kemudian letak pula di tempat yang menjadi tontotan ramai?

Saya rasa aneh.


Kenapa pakai niqab?

Saya tidak mahu bergerak jauh dalam perbahasan yang orang putih kata complicated. Saya tak suka macam itu. Maka saya senang mengajak wanita-wanita yang memakai niqab, yang berhajat memakai niqab untuk muhasabah kembali niat mereka memakai niqab itu sendiri.

Kenapa pakai niqab?

Jika nak dapat redha Ilahi, jika hendak menjaga diri dari fitnah, apakah pantas kita menangkap gambar dan meletakkanya di web sosial untuk tontonan umum?


Melainkan, kalau kita pakai niqab ini, tujuannya agar nak orang puji kita ini beriman tinggi sebab mampu pakai niqab, tujuannya nak orang beri perhatian pada kita sebab kita ni pakai niqab, tujuannya agar ada orang tertarik dengan kita sebab orang pakai niqab ni selalunya orang claim sebagai solehah.

Kenapa pakai niqab?

Ini titik permulaan sebenarnya, yang kita kena lihat semula.


Atas dasar apa kita memakai niqab?

Ikut-ikut? Tuntutan? Kepopularan? Hendakkan perhatian? Kewajipan?


Imej

Kenapa saya tergerak memanjangkan hal ini di dalam website?

Kerana imej Islam sedang terlekat pada orang yang memakai niqab, lebih berat dari orang lain. Ya lah, apabila memakai niqab, orang akan kata kita ni beriman kuat, thiqah, sungguh-sungguh amal Islam. Itu pandangan kebiasaan orang.

Justeru, apabila kita dipandang sedemikian rupa, kemudian kita pula melakukan sesuatu yang diluar pandangan orang itu, maka pastinya akan menimbulkan fitnah kepada Islam.

“Ish, ada patut dia buat camtu? Dia dah la pakai niqab”

“Pakai niqab, tapi sembang dengan lelaki macam biasa aje”

“Pakai niqab pun nak tangkap gambar lebih-lebih ke?”

Orang akan perhatikan dari segenap penjuru. Kita boleh kata dengan mudah: “Saya pun manusia” Tapi pada saya, bukan semua akan mendengar alasan itu. Mereka yang tidak faham Islam, akan memandang buruk Islam hanya kerana sikap pemakai niqab.

Tujuan niqab adalah untuk menutup fitnah, tapi kita dengan niqab, membuka fitnah baru yang lebih buruk.

Sebab itu, balik semula kepada niat tadi.


Kenapa pakai niqab? Dari niat inilah kita berusaha menetapkan diri kita sebenarnya. Barangsiapa yang niat hijrahnya kepada Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya akan bergerak kepada Allah dan rasul-Nya.


Pakai, pakai dengan serius


Artikel ni, bukan suruh tanggal niqab ya. Cuma saya mengajak mereka yang memakai niqab, mereka yang berhajat memakai niqab, agar memakainya dengan kefahaman, dengan penuh keseriusan.

Jangan jadikan Niqab ini fesyen.

“Orang solehah dia pakai niqab”


“Orang dakwah-dakwah ni, kena pakai niqab”

Tidak. Jangan begitu. Kalau kamu pakai niqab kerana itu, maka niqab kamu sudah menjadi fesyen, bukan lagi kerana mendapat redha Allah, bukan lagi kerana ingin menutup fitnah. Niqab kamu nanti hanya sekadar menjadi – trend orang dakwah. Kenapa pakai? Sebab kalau nak berdakwah, kena pakai niqab baru nampak macam pendakwah.

Jangan.

Tak pakai niqab bukannya tak solehah. Saya agak terkilan dengan sebahagian orang yang memakai niqab, memandang rendah mereka yang tidak memakai niqab. Tak pakai niqab juga, bukanlah tidak boleh berdakwah dan berada atas jalan tarbiyah. Sejak bila, niqab menjadi lesen untuk semua itu?

Bagi yang memakai niqab, teruskan dan perbaiki peribadi kamu. Kamu menjadi pandangan dan perhatian manusia lain. Ada yang ingin menghina, maka kamu jagalah diri dari hinaan kamu. Ada yang ingin mencontohi, maka kamu usahakan agar mereka contohi kamu. Ada yang ingin menghargai, mempercayai, maka kamu jangan khianati penghargaan dan kepercayaan mereka.

Seriuslah kalau benar niatnya untuk menjaga diri dari fitnah, mendapat mardhatillah. Jaga diri, jaga akhlak, jangan melakukan perkara yang terang menimbulkan fitnah. Sememangnya adat orang yang mengamalkan sesuatu yang ghuraba’, dia akan diperhatikan dan musuh menanti-nanti celahan yang boleh membuatkan dia jatuh. Lebih buruk lagi, kejatuhannya memburukkan pula Islam.

Maka, pakailah dengan serius.

Saya ulang, dengan serius. Bukan sebab main-main, bukan sebab ikut, bukan sebab trend, bukan sebab fesyen.



Sama-sama islah diri sebenarnya

Artikel ini, bukanlah nak kata perempuan yang tak pakai niqab tu tak payah jaga diri, boleh siar gambar macam-macam angle dan melakukan apa yang saya kata pada pemakai niqab tadi tak patut buat.

Sama sahaja tuntutan yang tak pakai niqab dengan yang pakai niqab. Cuma kenapa saya tekankan hal ini kepada yang berniqab? Adalah kerana orang yang pakai niqab ni, orang pandang lebih, orang ingat iman mereka tinggi, orang rasa mereka faham agama banyak. Jadi bila mereka buat something yang tak kena dengan Islam, orang akan salahkan Islam.

Bagi yang tak pakai niqab, saya tak suruh anda pakai niqab kalau tak perlu.Tapi kalau anda nak pakai, itu terpulang kepada anda. Cuma kalau nak pakai, perhatikan niat, pakai dengan serius. Dan bukanlah kalau anda tidak memakai niqab, bermakna anda boleh buat sesuka hati sahaja.


Semua perempuan kena jaga diri, kena pelihara diri, kena sayang dengan kebersihan diri sendiri.

Saya, sebagai lelaki, memandang perempuan dengan pandangan yang tinggi, anda bakal isteri saya, anda ibu saya, anda kakak saya, anda adik perempuan saya, anda anak perempuan saya, anda sepupu perempuan saya, anda nenek saya, anda makcik saya.

Siapa yang tidak suka akan keluarga yang bersih, terpelihara, serta mendapat redha Allah SWT?


Sama-samalah kita menjaga diri kita.


Anda dan saya. Perempuan dan lelaki.

Sama-sama kita perbaiki diri kita.